MAC 2023

Cadangan Benarkan Usahawan PKS Daftar Perniagaan Guna Alamat Rumah Dikaji


KUCHING: Sarawak akan meneliti dan memperincikan untuk membenarkan usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mengguna alamat kediaman untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketika ini ramai usahawan terbabit termasuk secara dalam talian beroperasi di rumah tetapi tidak dibenarkan menggunakan alamat  bagi mendaftarkan perniagaan.

"Jadi kita mahu memperincikan lagi soal ini, bukan sahaja sebagai alamat perniagaan (tetapi juga) apakah bentuk perniagaan yang mereka boleh beroperasi (daripada rumah)," katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) yang juga dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Awang Tengah berkata, pihaknya menerima garis panduan berhubung perniagaan daripada rumah daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada mesyuarat itu.

Katanya, pihaknya  bersetuju dan mengarahkan supaya ruang di premis perniagaan atau pusat inkubator usahawan di bawah agensi kerajaan termasuk anjung usahawan boleh digunakan sebagai alamat bagi usahawan PKS terbabit, untuk jangka pendek.

“Ia bagi memudahkan lebih ramai usahawan di Sarawak mendaftarkan perniagaan mereka seterusnya mudah mendapat bantuan yang disediakan kerajaan.

"Di Sarawak, berdasarkan banci tahun lalu, kira-kira 89,000 usahawan PKS telah berdaftar di Sarawak," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti